Monday, February 1, 2010

Terkejut didakwa meninggal dunia

KAMPUNG HULU - Anak kepada seorang enerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) terkejut apabila dimaklumkan nama ibunya dalam rekod jabatan itu berstatus meninggal dunia pada Disember lalu ketika dia berkunjung ke jabatan itu untuk mengambil bantuan bulanan bagi pihak ibunya.

Ibu Saad, 59, berkata, dia terkejut apabila diberitahu demikian oleh anaknya yang pulang dari Alor Setar untuk mengambil wang bantuan bulanan JKM sebanyak RM100.

Menurutnya, dia tidak mampu bekerja setelah hampir 13 tahun lumpuh dan hanya bergantung kepada anaknya, Awang Kechik yang mengambil upah menjalankan kerja kampung.

“Makcik terkejut apabila diberitahu anak, nama makcik dalam rekod JKM sudah meninggal dunia.

“Makcik berharap perkara ini mendapat perhatian pihak yang bertanggungjawab kerana sebelum ini Makcik bergantung kepada bantuan itu kerana tidak mampu bekerja,” katanya ketika dikunjungi Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Lada, Haris Che Mat.

Haris berkata, beliau terkejut dengan apa yang menimpa Ibu dan akan merujuk kes itu kepada JKM.

“Mungkin ada keciciran atau tersilap maklumat di pihak berkenaan dan saya akan membawa perkara ini ke pengetahuan JKM. Saya bangga dengan keprihatinan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kampung Hulu, Ali Mukhti,” katanya.

Haris berharap, semua JKKKP di DUN Bukit Lada agar dapat memaklumkan kes yang tercicir seperti Ibu dari semasa ke semasa.

“Saya harap kes yang melibatkan pembelaan rakyat dapat dimaklumkan, agar kita dapat membawa perkara ini kepada agensi kerajaan yang terlibat,” katanya.

No response to “Terkejut didakwa meninggal dunia”

Leave a Reply